Wednesday, August 18, 2010

PENGENALAN

NAMA : SELVENDERAN A/L RAMASAMY
NO MATRIK : 126868

Pada marcapada ini yang ditenggelami oleh transformasi permodenan gejala merokok telah mencipta nama sebagai suatu amalan atau norma yang diterima secara meluas dalam kalangan masyarakat kita. Banci yang terkini telah mencatatkan bilangan perokok lelaki Barat telah menonjolkan penurunan manakala bilangan perokok perempuan pula masih sama. Perokok yang paling ramai ialah di sekitar usia belasan iaitu, 16 hingga 24 tahun iaitu sebanyak 20 peratus daripada tahap umur perokok keseluruhan. Bancian juga membuktikan bahawa lebih kurang separuh atau 50 peratus lelaki Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah perokok. 85 peratus remaja akhirnya menjadi ketagih kepada rokok. Kementerian Kesihatan telah menganggarkan bahawa 3,500 dari setiap 10,000 kematian setiap tahun di Malaysia dijangka berpunca daripada fenomena berkaitan dengan amalan merokok.

Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok yang telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pada zaman beratus tahun dahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi juga merupakan suatu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok kecuali kerana terpengaruh kepada anasir-anasir Barat yang semakin bermaharajalela. Tembakau adalah satu-satunya bahan pengguna yang dibenarkan di sisi-sisi undang-undang tetapi boleh mendatangkan ketagihan dan membunuh separuh dari penghisapnya

Seseorang yang berada di sekitar perokok atau juga dikenali sebagai perokok pasif menyandang 70 peratus risiko menderita penyakit kesan daripada amalan durjana ini. Perokok pasif mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung (30 peratus) dan kanser (25 peratus) berbanding dengan perokok biasa. Asap yang terdedah di persekitaran mengandungi 2 kali lebih banyak nikotin, 5 kali lebih banyak karbon monoksida, 50 kali lebih banyak kimia yang menyebabkan kanser dan 3 kali lebih banyak tar berbanding dengan asap aliran yang berasal dari puntung rokok.

PUNCA-PUNCA

NAMA : SARMINI A/P JAYAKRISHNAN
NO MATRIK : 200957

Kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa

Ibu bapa merupakan pasangan individu yang diberi kewajipan untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak untuk menjadi insan yang sempurna dari segi semua aspek. Dalam zaman ini yang ditenggelami oleh arus permodenan, ibu bapa amat bersifat materialistik dan hanya menitikberatkan mata wang untuk bersaing antara satu sama lain untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing. Wang telah menjadi segala-galanya dalam kaca mata mereka dan mereka berpendapat bahawa kasih sayang dapat diukur dan dinilai dengan mata wang. Dengan ini, anak-anak diabaikan dan tidak diluangkan masa yang secukupnya dan menyebabkan anak-anak tidak dapat menikmati kasih sayang yang sahih. Konsekuensinya, anak-anak yang mendahagakan kasih sayang dan perhatian senang terjerumus dengan amalan-amalan yang berunsur negatif seperti merokok kerana kurang matang untuk membezakan antara yang baik dengan yang buruk.

Pengaruh rakan sebaya

Rakan sebaya merupakan individu yang pada lumrahnya berusia sama dengan remaja dan sentiasa mendampingi remaja di mana-mana samada di sekolah atau tuisyen. Dengan ini, remaja senang terikut-ikut dengan sebarang amalan rakan sebaya mereka samada yang baik atau yang buruk kerana menghabiskan kebanyakan masa bersama-sama mereka. Remaja juga mengikuti jejak rakan sebaya mereka kerana tidak mahu diejek dan diketepikan oleh “geng” mereka. Ada juga rakan sebaya yang mencabar untuk mencuba amalan yang negatif dan dengan ini remaja terpaksa akur dengan mereka kerana tidak mahu ketinggalan dan ingin menempah tahap yang sama dengan yang lain. Remaja yang kurang matang dan berjiwa kental susah untuk membezakan antara rakan yang baik dan buruk. Selain itu, remaja sering membandingkan diri mereka dengan rakan sebaya lain dan dengan ini mereka senang terjebak dengan amalan yang buruk seperti merokok apabila bergaul dengan rakan-rakan yang berkelakuan negatif.

Pengaruh media massa

Media massa merupakan ikon lahiran teknologi yang dicipta untuk melengkapkan kehidupan kita yang meniti ke arus moden dan memberi pelbagai sumbangan. Ironiknya, media massa juga menjana keburukan jika disalahgunakan. Contohnya, filem-filem yang memaparkan amalan buruk seperti merokok menyebabkan remaja mengikut jejak idola mereka. Remaja yang bersikap kental juga ingin bersaing dan bergaya seperti idola atau mentor mereka walaupun yang baik atau buruk asalkan gaya mereka ditiru dan dibanggakan. Selain itu, ada juga iklan merokok yang sering dipaparkan di kaca televisyen menyebabkan jiwa remaja ingin mencubanya dan lama-kelamaanya tertagih kepada amalan durjana ini.

PUNCA-PUNCA

NAMA : NUR SYAFAZILAH BINTI MUHD ZAIN
NO MATRIK : 198844

Senang dibeli dan diperolehi

Pada masa kini, rokok sudah menjadi barangan biasa yang dijual di mana-mana sahaja. Dengan ini, remaja terdedah kepada rokok kerana senang dibeli dan diperolehi. Seperti yang kita semau ketahui, rokok dilarang dijual bagi remaja belasan tahun yang tidak cukup umur. Tetapi, ada juga penjual yang mengaut keuntungan dengan menjual rokok kepada belia muda kerana wang yang terpapar dalam kaca mata mereka. Kesannya, ini mewujudkan suatu peluang bagi remaja untuk mencuba sepuntung rokok tetapi lama-kelamaan menjadi amalan seharian. Selain itu, ada juga ibu bapa yang merokok yang mendedahkan rokok di mana-mana sahaja tnapa menitikberatkan anak-anak mereka dan ini menimbulkan suatu pelaung bagi remaja untuk mencuba budaya pembunuh ini.

Naluri ingin tahu dan ingin mencuba

Remaja yang berjiwa kental sering ingin mencuba sesuatu yang baru dan mencabar. Naluri mereka yang muda menyebabkan mereka ingin mencuba apa-apa sahaja walaupun amalan buruk. Dengan ini, remaja senang terjerumus dengan budaya negatif seperti merokok kerana pada mulanya, mereka hanya ingin mencuba. Tetapi, lama-kelamaannya tertagih kepada budaya ini dan menjadi amalan seharian yang tidak dapat dielakkan.

PUNCA-PUNCA

NAMA : MOHD FARHAN BIN YUSOFF
NO MATRIK : 128434

Rokok sebagai penonjol kekayaan dan keunggulan
Terdapat persepsi buruk bahawa merokok dapat memberi gaya dan keunggulan kepada seseorang dimana tanggapan ini adalah salah di sisi kemanusiaan. Dengan ini, setiap orang ingin merokok kerana ingin menunjukkan kekayaan mereka kepada orang lain. Tetapi, mereka tidak menyedari bahawa amalan ini hanya memudaratkan diri mereka. Pada masa yang sama, keunggulan dalam hidup bukan segala-galanya dan terdapat elemen lain yang dapat mengatasi hidup kita.

Untuk mengurangkan tekanan atau stress

Ramai orang yang mengamalkan amalan merokok kerana mempercayai dapat membantu melepaskan tekanan atau stress. Dalam marcapada ini, kita terdedah kepada pelbagai tekanan hidup dan dengan ini, kita mencari penyelesaian untuk mengurangkan tekanan hidup supaya tidak menjejaskan amalan seharian kita. Terdapat tanggapan salah bahawa merokok dapat mengurangkan tekanan tetapi pandangan ini adalah salah semata-matanya. Ini kerana merokok dengan berlebihan hanya dapat membunuh kita dan bukannya menghapuskan tekanan kita. Terdapat pelbagai kaedah sihat lain yang dapat membantu mengurangkan tekanan hidup kita dan merokok bukannya suatu cara yang baik.

KESAN-KESAN

NAMA : PRASAD A/L MANOHARAN
NO MATRIK : 126538

Masalah kesihatan kepada perokok

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih daripada 4000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Selain komponen ini, tembakau yang terkandung dalam rokok juga dapat membawa pelbagai kemudaratan kepada kesihatan kita dan boleh menyebabkan ketagihan. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun. Antara masalah kesihatan yang berpunca daripada amalan merokok adalah seperti yang berikut :-

• Kanser peparu (lebih 10-15 kali ganda)
• Kanser pundi kencing
• Kanser perut
• Kanser usus dan rahim
• Kanser mulut (lebih 3-15 kali ganda)
• Kanser hidung dan tekak (lebih 5-15 kali ganda)
• Kanser Esofagus atau salur pencernaan (lebih 4-5 kali ganda)
• Kanser tekak
• Kanser pankreas
• Kanser Buah Pinggang (lebih 1-3 kali ganda)
• Kanser payudara
• Strok atau angin ahmar (lebih 2-3 kali ganda)
• Kereputan tulang (osteoporosis)
• Kelelahan akibat COAD dan emphysema
• Penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD)
• Penyakit jantung iskaemia
• Penyakit salur penafasan (lebih 10-20 kali ganda)
• Kerosakan pada salur darah spt penyakit peripheral vaskular
• Gangguan pada sistem peredaran darah
• Bronkitis
• Batuk
• Pekak kerana kadar pengaliran darah ke telinga yang rendah
• Penyakit ulser peptik
• Emfisima
• Penyakit gusi (penyakit periodontium)
• Nafas berbau
• Gigi menjadi kuning
• Masalah penglihatan seperti mata berair dan radang mata
• Kemandulan
• Putus haid awal
• Mati pucuk
• Air mani tidak normal
• Otot lemah
• Lemah ingatan kerana pembebasan gas karbon monoksida dan pengurangan oksigen

Masalah kesihatan kepada perokok pasif

Perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling mereka akibat daripada bahaya asap rokok yang dibebaskan oleh mereka. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru dan menyebabkan pelbagai penyakit seperti yang berikut :-

• Meningkatkan risiko kanser paru-paru dan penyakit jantung
• Masalah pernafasan termasuk radang paru-paru dan bronkitis
• Sakit atau pedih mata
• Bersin dan batuk-batuk
• Sakit kerongkong
• Sakit kepala




Masalah kesihatan kepada ibu hamil dan janin yang dikandung

Terdapat pelbagai masalah kesihatan yang harus ditanggung oleh ibu hamil yang terdedah kepada asap rokok. Selain ibu hamil, anak yang berada dalam kandungan juga terdedah kepada bahaya merokok seperti yang berikut :-

• Keguguran janin
• Tumbesaran janin terencat - 30% lebih tinggi
• Kematian janin dalam kandungan
• Pendarahan dari uri (abruption placenta)
• Kurang berat badan - 20 hingga 30%

Masalah kesihatan kepada bayi

Bayi yang terdedah kepada asap rokok atau juga digelar sebagai perokok pasif juga terdedah kepada bahaya kesihatan seperti yang berikut :-

• Masalah dan penyakit pernafasan
• Perkembangan kecerdasan otot terjejas
• Jangkitan telinga
• Leukeamia
• Kanser otak 22%
• Lelah - meningkatkan simptom lelah
• Sindrom kematian secara mengejut

KESAN-KESAN

NAMA : YUKENTIRAN A/L BASKERAN
NO MATRIK : 126870

Menyebabkan pencemaran udara

Asap rokok mengandungi lebih kurang 4000 bahan kimia beracun asing seperti tar (bahan untuk membuat jalan raya), Ammonia (bahan dalam pencuci lantai), Napthylamine (ubat gegat), Arsenik (racun anai-anai), Nicotine (bahan yang boleh mendatangkan ketagihan), Kadmium (terdapat dalam bateri), DDT (Ubat nyamuk), Formaldehyde (untuk mengawet mayat), Butane (gas yang boleh membunuh), Methanol (Bahan pembakar untuk roket), Hydrogen cyanide (racun), Toluene (bahan pelarut),Carbon Monoxide (gas beracun) dan banyak lagi. Bahan-bahan toksik ini mengandungi partikel-partikel yang beracun dan dapat mencemarkan udara di sekeliling kita. Lama-kelamaan udara yang tercemar dapat membawa pelbagai kemudaratan kepada umat manusia dan membawa kepada kepupusan flora dan fauna. Tambahan pula, udara yang tercemar dapat membawa kepada fenomena seperti hujan asid, kesan rumah hijau dan pemanasan global.

Menyumbang kepada kes kebakaran

Puntung rokok yang dibuang di merata-rata tempat boleh menyebabkan kebakaran jika terdedah kepada bahan yang mudah bakar. Rokok menyumbang kepada 25 peratus daripada kes kebakaran keseluruhan yang direkod dalam negara kita.

Menjejaskan produktiviti negara

Merokok merupakan suatu aktiviti yang membazirkan wang kita. Kajian yang terkini mencatatkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok. Menurut Dr Sallehudin, lebih 100000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat daripada sakit jantung, dan kanser yang berpunca daripada amalan merokok dan implikasinya negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan. Ini menyebabkan sebahagian besar pendapatan negara dibazirkan kepada perbelanjaan rawatan dan ini menyusutkan lagi produktiviti negara.

LANGKAH-LANGKAH

NAMA : KHALISWARAN A/L GANESAN
NO MATRIK : 126546

Menguatkuasakan peraturan dan undang-undang

Pihak berkuasa misalnya pihak polis harus menguatkuasakan peraturan dan undang-undang terutamanya di tempat-tempat larangan merokok seperti sekolah, hospital dan klinik, bangunan-bangunan kerajaan, lif dan kapal terbang. Pihak polis harus melakukan rondaan kerap supaya orang ramai takut untuk merokok di kawasan larangan. Tambahan pula, hukuman dan denda yang lebih tinggi harus dikenakan kepada sesiapa yang melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan supaya memomokkan masyarakat untuk menghentikan amalan negatif ini.

Mengenakan cukai yang tinggi bagi rokok

Pihak kerajaan harus mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi bagi rokok. Ini akan mengelakkan orang ramai untuk membazirkan wang bagi membeli rokok. Tambahan pula, remaja bersekolah tidak akan mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli rokok dan secara tidak langsung mengurangkan minat mereka untuk membeli rokok.

Mengadakan kempen-kempen anti merokok

Pihak kerajaan harus bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan kempen-kempen anti merokok seperti Kempen Tak Nak untuk menyedarkan masyarakat terutamannya golongan remaja tentang keburukan amalan merokok. Tambahan pula, kempen ini juga dapat member peluang kepada perokok untuk menghentikan amalan merokok dan meniti kehidupan yang sihat sejahtera.

PETUA BERHENTI MEROKOK

NAMA : HENG KWONG JEN
NO MATRIK : 206596

Amalan merokok sangat susah untuk dihentikan dan. mengambil masa yang lama. Kita memerlukan kekuatan mental yang tinggi untuk membuang tabiat buruk ini. Antara yang berikut ialah cara-cara yang disyorkan untuk menghentikan amalan merokok :-

• Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok dan buatkan nota peringatan
• Bersikap yakin, selalu berfikiran positif dan beritahu diri anda yang "anda boleh membuang tabiat merokok".
• Dapatkan sokongan daripada pihak yang rapat dengan anda
• Cuba sebaik-baiknya untuk mengatasi keinginan untuk merokok dengan misalnya, mengunyah gula-gula getah (chewing gum)
• lakukan senaman dengan kerap untuk meluangkan masa anda
• mandi dengan lebih kerap
• gunakan terapi gantian nikotin (nicotine replacement therapy) yang disyorkan oleh pusat perubatan
• melibatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah seperti berkelah, kem-kem motivasi, bersukan dan banyak lagi



















KESIMPULAN

NAMA : MOHD HAFIZUDDIN BIN MAT RAHIM
NO MATRIK : 128433

Secara tuntasnya, seramai 8,000 perokok diseluruh dunia mati setiap hari akibat penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok. Untuk mengekalkan keuntungan, industri tembakau perlu mencari perokok baru bagi menggantikan mereka yang telah mati. Usia muda merupakan sasaran yang tepat. sekiranya remaja mula merokok, peluang untuk mereka terus mengekalkan tabiat merokok sehingga dewasa adalah tinggi. Ini kerana merokok secara berulang kali boleh menyebabkan ketagihan yang tidak dapat diubati pada jangka masa panjang kelak.

Tabiat merokok dikalangan remaja di Malaysia menunjukkan peningkatan. Ini jelas daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001), yang menunjukkan 20 % perokok terdiri dikalangan remaja. Laporan tersebut turut menjelaskan bahawa dianggarkan seramai 50 sehingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari. Manakala menurut WHO dalam Sufean (2004) menunjukan bilangan perokok di dunia dianggarkan satu bilion. Statistik juga menunjukkan bahawa 49% daripada lelaki dewasa di negara ini merokok dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju seperti di Britain 38 %, Amerika Syarikat 35 % dan Sweden 30 %. Justeru itu, keadaan ini menjelaskan kepada kita bahawa perokok yang terdiri di kalangan remaja amat membimbangkan.

Menurut kajian Sabri (2002), didapati keseluruhan penagih dadah terdiri daripada kalangan perokok. Menurut beliau lagi,walaupun pelatih berada di dalam pusat serenti tetapi mereka tidak putus bekalan tembakau. Ini di sokong oleh kajian Samsuddin dan Herman dalam Modul Kempen Cara Hidup Sihat (2003) yang menyatakan bahawa 99% penagih dadah di pusat serenti mengamalkan tabiat merokok dan 95% penagih dadah yang telah bebas mengamalkan tabiat merokok. Pendapat ini turut disokong oleh Lee dalam Ahmad (2004), berkata kajian sumbangan tabiat merokok kepada gejala penagihan dadah mendapati 99 % penagih dadah yang ditahan di semua pusat serenti mempunyai pengalaman menghisap rokok ketika usia remaja.

Amalan merokok harus dielakkan malah dimansuhkan dalam kalangan rakyat Malaysia kita. Ini penting untuk membentuk masyarakat sihat yang menjadi asset dan harta negara dalam mengharungi cabaran ke arah merealisasikan Wawasan 2020.

BERHENTI MEROKOK - Kalau bukan untuk diri anda. Lakukan untuk anak-anak anda.

KES-KES MEROKOK YANG DILAPORKAN

NAMA : FARAH HALIZA BINTI ABDULLAH
NO MATRIK : 113971

BERITA 1

Ramai wanita merokok mahu kuruskan badan
Sumber: Berita Harian, Khamis – 8 April 2010

Kuala Lumpur (Malaysia) – Tanggapan merokok boleh menguruskan badan oleh segelintir wanita di tolak oleh Kementerian Kesihatan kerana tanggapan itu tidak berasas. Menteri Kesihatan berkata kerajaan bimbang dengan peningkatan penghisap rokok di kalangan wanita sejak kebelakangan ini yang berpunca daripada kepercayaan itu dan berharap golongan ini harus merujuk kepada klinik atau hospital kerajaan bagi mendapatkan kaunseling.

BERITA 2

Ibu hamil merokok lahir anak psikotik
Sumber: Berita Harian, Rabu – 30 September 2009


London (England) – Menurut saintis Britain, ibu yang merokok ketika hamil meletakkan kandungan mereka dalam risiko lebih besar untuk berkelakuan ganas ketika remaja. Penyelidik mendapati 19 peratus daripada 6,356 kanak-kanak berusia 12 tahun yang ditemuramah bagi tanda psikotik seperti halusinasi atau delusi mempunyai ibu yang merokok ketika hamil. Lebih kerap seseorang ibu hamil merokok, lebih berisiko anak kandungannya mempunyai tanda psikotik apabila membesar kelak. Walaubagaimanapun, alasan bagi kaitan antara merokok ketika hamil dan tanda psikotik tidak jelas. Lebih banyak penyelidik diperlukan untuk menyiasat bagaimana pendedahan kepada tembakau dalam rahim menjejaskan otak kanak-kanak.

BERITA 3

107,000 remaja merokok
Sumber: Berita Harian, Selasa – 29 Julai 2008

Kuala Lumpur (Malaysia) – Jumlah perokok remaja membimbangkan Kementerian Kesihatan kerana hasil kajian menunjukkan lebih 107,000 remaja dikesan merokok di seluruh negara, dengan 3,800 daripada mereka berusia 13 tahun. Kajian 2006 itu adalah kelangsungan daripada kajian pada 2003 yang mendapati 654 murid tahun empat hingga tahun enam dikesan merokok. Daripada jumlah itu, 517 mengakui merokok kerana meniru guru atau keinginan sendiri.

BERITA 4

Akibat merokok
Sumber: Berita Harian, Jumaat – 14 Mac 2008


Washington (Amerika Syarikat) – Penyelidik Britain mendapati bahawa ibu yang berhenti merokok ketika hamil akan lebih bersikap ceria serta lebih dapat menyesuaikan diri dengan bayi yang bakal dilahirkan, berbanding dengan ibu hamil yang terus merokok di mana bayi yang dilahirkannya akan lebih bersikap pemarah. Tembakau dikatakan mampu mempengaruhi perkembangan janin dan menunjukkan ia juga memberi kesan terhadap kanak-kanak jika mereka menghidu asap daripada ibu mereka.

BERITA 5

6 maut setiap jam kerana merokok di Thailand
Sumber: Berita Harian, Rabu – 1 Jun 2005

Bangkok (Thailand) – Menteri Kesihatan Thailand berkata, rokok membunuh sekurang-kurangnya enam penduduk Thailand setiap jam dan tabiat merokok di kalangan remaja negara itu semakin meningkat. Lebih 52,000 orang maut akibat penyakit berkaitan rokok pada tahun 2004 dan rekod kementerian menunjukkan lebih 9.6 daripada 64 juta penduduk Thailand merokok tahun lalu, berbanding 10.4 juta pada tahun sebelumnya.

BERITA 6

Tabiat merokok kurangkan jangka hayat manusia
Sumber: Berita Harian, Jumaat – 22 April 2005

London – Menurut satu perangkaan yang dikeluarkan, tabiat merokok mengurangkan jangka hidup sekurang-kurangnya lima tahun bagi lelaki berusia 30 tahun dan hampir tujuh tahun di kalangan wanita sama umur. Peluang untuk mati pada usia 60 tahun lebih dua kali ganda di kalangan perokok berbanding tidak merokok

BERITA 7

100% penagih dadah mula daripada merokok
Sumber: Utusan Malaysia, Khamis – 12 Februari 2004

Kuala Lumpur (Malaysia)
– Gejala menagih dadah meningkat setiap tahun disebabkan lebih 100 peratus penagih dadah di Malaysia didapati bermula daripada merokok. Jika tidak dibendung dari awal tidak mustahil golongan perokok ini dikatakan akan terjebak ke dalam penagihan dadah akibat merokok. Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Merokok dan Kesihatan (ASH), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, kerajaan perlu melaksanakan kempen “Tak Nak Kepada Rokok” secara agresif dengan mensasar kepada golongan kanak-kanak, remaja, pelajar sekolah dan universiti tentang bahaya merokok.